Visi
:
Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang

Misi :
Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti

Matlamat :
Sekolah Menengah Kebangsaan Kayu Ara Pasong akan melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.


PENGURUSAN SEKOLAH 2009

MAKLUMAT PENGURUSAN DAN KAKITANGAN

PENGETUA :
EN JUHAIR BIN JUMAAT
PEN KANAN 1 :
PN HJH ZAINURIAH BT HJ AMAN
PK HEM :
EN RAZALI BIN HJ MUSTAMAR

PK KO-KURIKULUM :
EN ISMAIL BIN KETANG
GURU PERPUSTAKAAN DAN MEDIA :
(KOSONG)

GURU KANAN MATA PELAJARAN :

BAHASA :
PN ANDIK RADHIAH BT A AZIZ

SAINS & MATEMATIK :
EN ONG TENG HU

SAINS KEMASYARAKATAN :
EN MOHD FADIR BIN MOHD SALLEH
TEKNIK & VOKASIONAL :
EN ZULNURAINI BIN RAHMAT@ HJ. ZOHDI


MAKLUMAT STAF:

1.GURU : 52 ORANG
2.STAF SOKONGAN : 13 ORANG
3.STAF PEMBERSIHAN : 6 ORANG
4.STAF KESELAMATAN : 3 ORANG

21 Julai 2010

Pertukaran Guru

Salam. Bulan Jun dan Julai menyaksikan perpindahan masuk dan keluar guru-guru SMKKAP. Cikgu Kamahabzanizam telah berpindah ke Pejabat pelajaran Daerah Pontian dan Cikgu Rozita ke SMK Senggarang. Selamat berjaya diucapkan kepada dua-dua orang cikgu. Cikgu yang memulakan tugas baru di SMKKAP adalah Cikgu Sofia, Cikgu Rahmadaniah dan Cikgu Siti Nor Fairuz. Selamat bertugas diucapkan dari semua warga SMKKAP.....

21 Jun 2010

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

Selamat kembali ke sekolah setelah bercuti selama 16 hari.... Pihak sekolah berharap semua pelajar dapat kembali menumpukan perhatian terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran. Kepada Cikgu Rodzita binti Ismail, selamat bertugas di sekolah yang baru.

01 Jun 2010

Peperiksaan Pertengahan Tahun

Alhamdulillah......akhirnya blog SMKKAP beroperasi semula setelah mengalami masalah teknikal. Peperiksaan Pertengahan Tahun sedang berjalan. Semua guru berharap murid-murid dapat menjawab semua soalan dengan sebaiknya....Sama-samalah kita

19 Oktober 2009

Mengapa Anda Selalu Lupa?

Adakah masalah lupa merungsingkan anda? Itu sudah pasti, bukan? Sekiranya anda dapati anda sering kali lupa apa yang telah dibaca, maka tahniah!! itu tandanya anda manusia normal. Hasil kajian telah menunjukkan 80% dari apa yang kita baca hari ini akan lupa hanya dalam masa 24 jam.

Jangan cari alasan. Ramai pelajar menjadikan lupa sebagai alasan untuk tidak belajar atau membuat ulangkaji terlalu awal. “Buat apa baca sekarang esok lupa juga”. Inilah kata-kata yang sering diucapkan. Tahukah anda, sebenarnya anda tidak lupa, cuma anda belum melakukan cukup usaha supaya anda tidak lupa. Mudah bunyinya bukan??

Sebenarnya wujud perbezaan antara belajar awal dengan belajar waktu musim peperiksaan. Anda perlu belajar awal untuk menyediakan nota-nota bermutu dan untuk memahami setiap mata pelajaran dengan sebaik-baiknya. Jangan risau kalau masih banyak yang anda belum ingat, yang penting telah banyak tajuk-tajuk yang anda telah faham.

Fahami apa yang dibaca. Memahami matapelajaran adalah langkah pertama sebelum anda melakukan usaha untuk menghafalnya. Menghafal bahan yang tidak difahami adalah perbuatan yang sia-sia. Sekiranya anda belajar awal, anda pasti punya banyak masa dan berpeluang untuk bertanya kepada guru dan rakan-rakan agar setiap kekeliruan dapat diatasi sebelum terlambat..

Setelah anda benar-benar faham, sediakan nota ringkas yang bermutu untuk anda gunakan setiap kali datangnya musim peperiksaan. Sediakan juga nota-nota poket dan peta minda bagi memudahkan anda merujuk semula kepada apa yang telah dipelajari tanpa perlu membelek semula buku-buku asal.

Hafal kata kunci. Ramai pelajar yang mempunyai tabiat menghafal yang buruk. Mereka cuba mengingati keseluruhan ayat yang mewakili fakta.

Contoh fakta:
Otak manusia terbahagi kepada dua hemisfera iaitu otak kanan dan otak kiri.

Pertama sekali pastikan anda faham apa mesej yang mahu disampaikan kepada anda dalam fakta tersebut. Keduanya barulah hafal fakta itu, tetapi bukan menghafal keseluruhan ayat. Hafal hanya perkataan ‘dua hemisfera’ yang merupakan kata kunci kepada fakta. Sekiranya anda ingat kata kunci ini pasti sahaja anda mampu menerangkan kepada orang lain apa maksud disebaliknya. Sebab itulah anda perlu faham sebelum anda hafal!!

Pecahkan kepada beberapa kumpulan kecil. Sekiranya anda terpaksa menghafal terlalu banyak fakta, jangan hafal kesemuanya serentak. Tidak perlu terburu-buru. Pecah-pecahkan fakta-fakta tersebut kepada beberapa kumpulan kecil dan hafal setiap fakta dalam kumpulan ini.
Misalnya, kalau anda ada 15 fakta yang perlu diingat, pecahkan fakta-fakta ini kepada 3 kumpulan kecil. Setiap kumpulan mempunyai hanya 5 fakta. Baik, sekarang mana yang lebih mudah dihafal, kumpulan yang 15 fakta atau kumpulan yang mengandungi 5 fakta? Lihat! mudah-mudahkanlah pekerjaan anda. Sekali lagi jangan terburu-buru. Mempelajari bahan-bahan akademik memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi.

Sering membuat imbasan. Satu lagi faktor anda lupa ialah terlalu percaya bahawa anda telah menguasai tajuk tersebut hanya dengan melakukan sekali ulangkaji. Awal-awal lagi telah dibuktikan bahawa 80% daripada apa yang telah dipelajari akan lupa dalam masa 24 jam. Sekiranya anda tidak menyemak semula tajuk tersebut dalam masa yang terdekat, maka jangan pelik kalau anda terpaksa mengulang baca keseluruhan tajuk sekali lagi dimusim peperiksaan. Untuk menjadi seorang pelajar yang efektif, anda perlu melihat seimbas apa yang telah anda baca dari semasa ke semasa secara sistematik. Petua dibawah boleh digunakan dan terbukti berkesan:

Imbas 5 minit apa yang dibaca selepas 24 jam.
Imbas 5 minit lagi selepas 1 minggu.
Imbas 5 minit setiap 2 minggu.
Imbas 5 – 10 minit dimusim peperiksaan.
Gunakan teknik-teknik ingatan. Untuk memudahkan lagi proses mengingati fakta, anda perlu ada kemahiran tertentu seperti teknik mnemonik, teknik menggambar cara, teknik ceraian dan pelbagai lagi. Pastikan anda kembali ke sini setiap minggu sebab pelbagai topik berkaitan dengan ingatan akan dimasukkan dari semasa ke semasa.

Elakkan dari tidur petang. Ini lagi satu penyakit. Tidur selepas waktu Asar akan melembabkan otak anda. Dalam Islam amalan tidur petang sebegini sangat tidak digalakkan. Oleh itu hentikan tabiat buruk anda ini. Kalau anda letih, tidur sahaja sebentar selepas solat zuhur, ini sunnah Rasulullah s.a.w. Badan akan terasa lebih bertenaga untuk belajar diwaktu malamnya nanti.

Ajarkannya kepada orang lain. Cari peluang untuk mengajarkan apa yang telah anda ketahui kepada orang lain. Libatkan diri secara aktif dalam perbincangan kumpulan. Hanya dengan mengajarkannya sahaja anda dapat menguji penguasaan anda terhadap satu-satu tajuk. Raikan setiap soalan dan hujah daripada rakan. Galakkan mereka bertanya kepada anda. Hanya dengan cara inilah otak anda mula bekerja lebih keras untuk mencari jawapan

Pembelajaran Kooperatif Yang Berkesan

Apa dia pembelajaran kooperatif ?

Pembelajaran kooperatif telah menjadi salah satu pembaharuan dalam pergerakan refomasi pendidikan. Pembelajaran kooperatif sebenarnya merangkumi banyak jenis bentuk pengajaran dan pembelajaran. Asasya ia menggalakkan pelajar belajar bersama-sama dengan berkesan melalui pembentukan kumpulan yang homogen seperti dalam pendidikan inklutif. Ianya boleh digunakan oleh pelbagai kumpulan umur dan dalam pelbagai mata pelajaran.Pembelajaran koopeatif dilaksanakan secara kumpulan kecil supaya pelajar-pelajar dapat berkerjasama dalam kumpulan untuk mempelajari isi kandungan pelajaran dengan pelbagai kemahiran sosial. Secara dasarnya, pembelajaran kooperatif melibatkan pelajar bekerjasama dalam mencapai satu-satu objektif pembelajaran (Johnson & Johnson, 1991). Selain dari itu, ciri-ciri umumnya ialah:

Ciri- ciri pembelajaran kooperatif

Pendekatan Pembelajaran kooperatif mempunyai beberapa ciri tertentu, diantaranya ialah :

1. Matlamat kumpulan

Matlamat kumpulan ialah kejayaan kumpulan dalam mencapai kecemerlangan dalam menguasai sesuatu konsep yang di ajar. Matlamat ini dicapai melalui usaha bersama semua bersama ahli di dalam kumpulan. Dalam kumpulan ini setiap ahli kumpulan mempunyai peranan tertentu dan jelas dalam usaha kumpulan mencapai matlamat yang ditetapkan.

2. Interaksi sosial ditekankan.

Setiap ahli kumpulan akan berinteraksi secara bersemuka dalam kumpulan. Interaksi yang serentak berlangsung pada masa yang sama untuk setiap kumpulan melalui perbincangan yang akan menyebabkan lebih ramai individu yang turut serta mengambil bahagian. Setiap ahli kumpulan perlu berhubung rapat, saling memenuhi dan bantu-menbantu.

3. Pelajar perlu saling bergantungan positif untuk mencapai objektif gerak kerja.

Kejayaan kumpulan bergantung kepada pembelajaran individu yang ahli sesuatu kumpulan. Setiap ahli mempunyai tanggungjawab ke atas keberkesanan pembelajaran kumpulan. Prinsip ini dikenali sebagai saling bergantungan secara positif. Untuk mencapai kejayaan dalam prinsip ini, tugas perlu diagihkan kepada semua ahli kumpulan untuk menyumbang jawapan atau hasil dapatan. Tanggungjawab individu bermakna setiap pelajar mesti melaksanakan tugas masing-masing yang diberikan untuk menyumbang kepada sesuatu projek. Penyertaan pula bermaksud semua pelajar mempunyai peluang yang sama untuk mengambil bahagian dan menyumbang secara bersama.

Apakah kelebihan pembelajaran kooperatif ?

Walaupun pembelajaran kooperatif menimbulkan keresahan kepada ibubapa yang khuatirkan kecairan pembelajaran apabila pelajar yang cerdas berada di dalam kumpulan yang kurang cerdas, tetapi mengikut Slavin ( 1991) ia akan memberi faedah kepada golongan yang berbeza kebolehan yang belajar dalam satu kumpulan. Kajian menunjukkan pembelajaran kooperatif boleh meningkatkan pencapaian dan kemahiran kognitif pelajar. Jika dijalankan dengan sempurna, setiap pelajar mempunyai tanggungjawab untuk memahiri sesuatu subtopik serta berpeluang berkongsi pengetahuannya dengan ahli kumpulan yang lain. Untuk tujuan ini , pelajar perlu betul-betul memahami subtopik itu, bukan sekadar menghafal sesuatu topik. Ini mengakibatkan pemprosesan pada aras yang lebih tinggi,yang meningkatkan daya ingatan dan seterusnya membolehkan mereka menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

Kajian juga menunjukkan pembelajaran kognitif boleh memberbaiki kemahiran sosial pelajar. Ahli-ahli dalam kumpulan perlu bekerjasama untuk mencapai objektif pembelajaran. Secara tidak langsung, mereka perlu mempelajari atau memperbaiki kemahiran sosial mereka. Pelajar yang bersuara perlahan perlu meninggikan suara supaya didengari dan difahami oleh ahli kumpulan lain. Teguran sesama ahli perlu dilakukan dengan sewajarnya agar dinamik kumpulan tidak hancur dan gerak kerja berjalan lancar.

Mengikut Kagan (1994) , pembelajaran kooperatif bagi golongan berbakat telah membawa banyak keberkesanan atau faedah seperti berikut :

Membaiki hubungan sosial

Meningkatkan pencapaian

Meningkatkan kemahiran kepimpinan

Meningkatkan kemahiran sosial

Meningkatkan tahap kemahiran aras tinggi

Meningkatkan kemahiran teknologi

Meningkatkan keyakinan diri.

Beberapa bentuk pembelajaran kooperatif

1.Kaedah Jigsaw II

Dalam kaedah ini, setiap ahli kumpulan menjadi ‘juru’ dalam sub-unit sesuatu topik. Setelah masing-masing memahami bahagian masing-masing, setiap ‘juru’ mengajarnya pula kepada ahli kumpulan yang lain. Soal-jawab atau perbincangan yang berlaku semasa proses ini membolehkan ‘juru’ dan ahli sama-sama memikirkan pembentangan yang diberi, ini meningkatkan pemahaman dan ingatan. Selain dari itu, kaedah ini juga memberi peluang kepada pelajar yang kurang cemerlang dan mengajar mereka untukmenjadi ‘juru’ dan mengajar mereka yang mempunyai prestasi akademik lebih baik daripadanya, secara tidak langsung meningkatkan keyakinan diri mereka.

2.Kaedah STAD

STAD merupakan akronim bagi Student Teams Achievement Divisions. Pembelajaran dalam kumpulan kecil dilakukan bagi sesuatu topik. Kaedah perbincangan ini boleh menggunakan kaedah Jigsaw II atau pendekatan lain. Selepas itu kuiz bertulis secara individu akan diberikan untuk menguji pemahaman pelajar. Setiap pelajar akan mendapat markah individu, peningkatan kemajuan yang ditunjukkan oleh setiap pelajar akan dikira dengan mengambil markah terbaru dan ditolak dengan purata markah pelajar itu sendiri. Perbezaan markah individu akan dikumpulkan untuk menjadi markah kumpulan. Di sebabkan markah kumpulan diperolehi berdasarkan peningkatan ahli kumpulan, ahli kumpulan akan saling bekerjasama supaya mendapat markah yang maksimum.

TAI

TAI( Team Assisted Individualization) dibentuk menggabungkan antara motivasi dan insentif kepada kumpulan. Program yang diberikan mestilah bersesuaian dengan kemahiran yang dipunyai oleh setiap pelajar. Pelajar dalam setiap kumpulan mestilah terdiri daripada pelajar yang mempunyai keupayaan yang berbeza-beza. Ahli kumpulan yang bekerja secara berpasangan akan bertukar-tukar helaian jawapan kerja yang telah dibuat. Ahli kumpulan bertanggungjawab memastikan rakan-rakan dalam kumpulan bersedia untuk menduduki ujian akhir setiap unit. Skor mingguan yang diperolehi oleh kumpulan akan dijumlahkan , kumpulan yang melebihi skor yang ditetapkan akan diberikan sijil.

Beberapa strategi meningkatkan keberkesanan pembelajaran kooperatif

Pembahagian kumpulan yang membolehkan ahli-ahli dalam kumpulan bekerja dengan berkesan bersama-sama.Faktor yang paling utama di sini ialah bilangan ahli dalam kumpulan. Kumpulan kecil mengandungi tiga atau empat ahli didapati paling efektif. Kumpulan yang terlalu besar kurang efektif kerana pembabitan ahli kumpulan cenderung menjadi tidak sama rata. Disamping itu, pembentukan kumpulan sebaiknya dilakukan oleh guru bagi mengelakkan pelajar berkumpul sesama ‘klik’ mereka sahaja.

Tugasan perlu distruktur sebegitu rupa supaya ahli kumpulan saling bergantung untuk mencapai objektif yang ditentukan. Elakkan memberi tugasan yang boleh diselesaikan tanpa perlu pembabitan setiap ahli kumpulan. Ini boleh menyebabkanada ahli kumpulan yang ‘lepas tangan’ ataupun dipinggirkan oleh orang lain, dan bagi pelajar ini, pengalaman pembelajaran sepenuhnya tidak dapat dicapai.

Jadikan tanggungjawab pencapaian terletak di kedua-dua tahap individu dan kumpulan. Satu cara ialah melalui pemberian markah. Setiap pelajar mendapat markah individu dan markah kumpulan bergantung kepada markah individu. Dengan cara itu setiap pelajar mempunyai motivasi untuk melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga kumpulan.

Berikan garis panduan tingkahlaku dan kemahiran berkomunikasi kepada pelajar. Guru perlu menjelaskan kepada pelajar apakah tingkahlaku yang wajar dan tidak wajar semasa pembelajaran kooperatif berlaku. Guru juga perlu meberikan asas kemahiran komunikasi misalnya bagaimana menyuarakan pendapat dan bagaimana menghadapi percanggahan pendapat.

Pastikan jenis dan amaun interaksi antara pelajar berpatutan. Guru perlu mengawasi interaksi yang berlaku semasa pelajar menjalankan aktiviti kumpulan di dalam kelas. Perbincangan yang berlaku seharusnya yang berkaitan dengan tugasan . Interaksi juga harus berlaku di antara setiap ahli kumpulan dan tidak meminggirkan mana-mana ahli kumpulan. Perbincangan dan keputusan juga tidak dimonopoli oleh ahli kumpulan tertentu sahaja.

Belajar Cara Belajar (BCB)

Kemahiran belajar merupakan kemahiran seumur hidup. Kemahiran ini perlu dikembangkan kepada semua murid supaya mereka peka dengan teknik-teknik pembelajaran yang berkesan. Dengan kemahiran ini juga, murid dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan dalam proses belajar mereka dan seterusnya mereka boleh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memperbaiki sesuatu kelemahan. Justeru, pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah perlu mengambil kira kebolehan dan minat murid yang pelbagai dan guru harus memberikan penekanan pada teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan murid mereka.

Belajar cara belajar di sini akan cuba memberikan berberaapa cadangan dan idea untuk menjalankan teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah yang menyerapkan belajar cara belajar. Untuk mencapai matlamat ini, beberap objektif seperti:

  1. Menjelaskan konsep belajar cara belajar kepada guru.
  2. Memahami faktor yang mempengaruhi pembelajaran murid
  3. Membimbing guru mengenal pasti startegi pembelajaran yang sesuai untuk murid.
  4. Membantu guru mengaplikasikan kemahiran belajar cara belajar dalam pengajaran dan pembelajaran.
  5. Menyediakan contoh rancangan pengajaran-pembelajaran untuk guru.

RASIONAL BELAJAR CARA BELAJAR

Belajar cara belajar yang diperkenalkan dalam pendidikan adalah berdasarkan kepada beberapa sebab:

  1. Proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru di dalam kelas adalah terhad.
  2. Pengetahuan dan maklumat yang diterima oleh murid di dalam kelas juga terhad.
  3. Sika tanggungjawab murid perlu ada terhadap pembelajaran mereka.
  4. Murid perlu belajar untuk memperolihi maklumat tambahan di luar waktu persekolahan.
  5. Murid perlu meningkatkan keupayaan mereka untuk mempelajari sesuatu.
  6. Kemahiran belajar cara belajar sejajar dalam matlamat pendidikan untuk menyemai kemahiran belajar seumur hidup di kalangan murid..

OBJEKTIF BELAJAR CARA BELAJAR

Objektif Belajar Cara Belajar adalah seperti berikut:

  1. Menyediakan murid yang berupaaya belajar sendiri tanpa guru.
  2. Membolehkan murid menggunakan pengetahuan sedia ada, rakan dan bahan lain sebagai sumber pembelajaran.
  3. Membolehkan murid membuat refleksi dan menilai tahap pembelajaran sendiri.
  4. Membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran ke situasi lain, sama ada dalam mata pelajaran lain dan pergaulan.
APAKAH BELAJAR CARA BELAJAR?

Pengertian Belajar Cara Belajar
Belajar cara belajar ialah proses untuk memperolehi teknik belajar sama ada bersama guru ( formal ) atau tanpa guru ( non-formal ).

KEMAHIRAN BELAJAR

Kemahiran belajar perlu dikuasai oleh setiap murid untuk menambah ilmu pengetahuan serta meraih kecemerlangan dalam peperiksaan dan kehidupan. Kemahiran belajar melibatkan beberapa kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap murid. Kemahiran itu termasuklah:

  • Kemahiran mendengar dengan berkesan.
  • Kemahiran membaca.
  • Kemahiran mencatat nota.
  • Kemahiran menulis.
  • Kemahiran mengingat.

a. Kemahiran Mendengar dengan Berkesan.
Kemahiran mendengar ialah sebahagian daripada proses komunikasi antara manusia. Mendengar ialah aktiviti aktif dari segi mental kerana kemahiran ini melibatkan kefahaman dan pemprosesan maklumat yang didengar. Kemahiran mendengar melibatkan beberapa proses.

1. Apa yang didengar.
1.1 Terdapat pelbagai bahan yang kita dengar seperti teks puisi, muzik, ucapan, arahan, lakonan, lagu, berita, pengumuman, syarahan dan pelbagai lagi.

2. Mengapa perlu mendengar.
2.1 Mendengar untuk mendapatkan maklumat, fakta,data dan pengetahuan dari apa yang didengar.
2.2 Perlunya mendengar juga adalah untuk menghayati keindahan bahasa dan muzik.
2.3 Untuk mengetahui perkembangan semasa.
2.4 Untuk mendengar penjelasan guru tentang sesuatu.

3. Siapa yang didengar.
3.1Sesiapa sahaja yang dapat memberikan maklumat, memberikan penjelasan, membuat pertanyaan dan mereka yang memberikan pendapat.

4. Bagaimana mendengar dengan berkesan.
4.1 Seseorang yang mendengar dengan teliti dan penuh perhatian terhadap apa yang disampaikan.
4.2 pendengaran dengan berkesan adalah dalam suasana yang tenang dan selesa.

5. Bagaimana meningkatkan kemahiran mendengar.
5.1 kemahiran mendengar dapat ditingkatkan dengan cara memotivasikan diri untuk memberikan sepenuhnya tumpuan dan perhatian kepada pembelajaran hari itu.
5.2 mendengar dan memandang kearah guru atau penyampai.
5.3 Menumpukan perhatian kepada apa yang diperkatakan, ditunjukkan dan ditulis.

b. Kemahiran Membaca.
Kemahiran membaca ialah penting untuk mendapatkan maklumat, pengetahuan, dan fakta mengenai sesuatu perkara. Membaca ialah proses kompleks yang melibatkan proses komunikasi antara pembaca dengan penulis melalui tulisan yang dibaca. Biasanya terdapat empat gaya bacaan, iaitu:

1. Skimming / Luncuran.

Skiming ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan maklumat ringkas dan pantas mengenai sesuatu bahan atau maklumat. Ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat ringkas tetapi menyeluruh mengenai sesuatu bahan atau dokumen. Dalam proses bacaan ini juga ialah bertujuan untuk membuat pandangan umum mengenai dokumen dengan segera.
Bacaan skimming boleh dilakukan dengan cara membaca tajuk, pendahuluan dan rumusan sesuatu bahan atau dokumen, begitu juga dengan membaca menggunakan pergerakan mata yang cepat dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada bahan yang dibaca.

2. Scanning / Imbasan.

Imbasan ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam daripada skimming. Antara tujuannya ialah untuk mendapatkan maklumat tertentu sebagai jawaban kepada sesuatu persoalan.
Membaca secara imbasan adala membaca pendahuluan dan rumusan teks secara mendalam, membaca kandungan bab dengan pantas sambil mencatatkan kata kunci dan konsep yang dinyatakan.

3. Bacaan intensif

Bacaan intensif ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan maklumat terperinci. Bacaan intensif memerlukan penumpuaan yang teliti terhadap bahan atau dokumen yang dibaca. Ketekunan dalam pembacaan juga mesti tinggi dan selalunya bacaan secara intensif ini mengambil masa yang lebih panjang untuk mendapatkan makna apa yang dibaca.
Tujuan bacaan secara intensif adalau sematapmata untuk mendapatkan semua maklumat dengan mendalam dan catatan perlu dibuat untuk mengumpulkan maklumat tersebut.

4. Bacaan Laju.

Bacaan laju ialah teknik bacaan yang memerlukan kebolehan seseorang membaca dengan laju dan mampu memahami dengan serentak apa yang dibaca. Membaca laju menumpukan perhatian pada pemikiran atau idea utama. Ini boleh dibuat dengan membaca cepat seluruh buku, membaca cepat senarai bab, membaca cepat semua bahagian dan membaca cepat semua perenggan.

Tujuan bacaan laju adalah untuk menggunakan masa terhad dengan lebih produktif, dapat menjimatkan masa, dan untuk memperolihi maklumat tambahan pada kadar yang cepat.

c. Kemahiran Mencatat Nota.

Mencatat nota ialah aktiviti merekod fakta, maklumat dan isi penting daripada bahan yang dibaca, dilihat atau didengar. Mencatat nota berlaku dalam semua situasi belajar seperti kuliah, ceramah, penerangan, temuduga, membaca buku atau bahan lain.

Perlunya mencatat nota adalah untuk mendapatkan isi-isi penting sebagai bahan rujukan. Daripada isi-isi penting ini dapatlah ia dikembangkan kepada fakta asas. Catatan nota yang telah dikumpul akan dapat membantu sebagai bahan rujukan tambahan pada masa hadapan.

d. Kemahiran Menulis

Menulis Laporan
Pada umumnya untuk menyediakan laporan adalahseperti yang berikut:

  • Memilih topic sekiranya tidak diberikan.
  • Mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.
  • Meneliti dan memilih maklumat yang relevan dengan topic.
  • Membuat nota .
  • Menyediakan kerangka laporan.
  • Menulis draf pertama dan mengenal pasti sumber yang dipetik.
  • Melengkapkan laporan dengan jadual, graf, dan bahan grafik yang lain yang sesuai.
  • Menyemak draf.
  • Membuat pemurnian dan menulis draf kedua.
  • Menerbitkan laporan.
Kemahiran Menulis Cepat

Menulis cepat ditafsirkan sebagai kemahiran menulis dengan kepantasan yang tinggi dan tulisannya boleh dibaca oleh orang lain. Oleh itu , memerlukan kreteria seperti berikut:

  • Kelajuan menulis.
  • Tulisan yang boleh dibaca.
  • Kandungannya difahami.

Seseorang yang boleh menulis dengan cepat dapat menulis lebih banyak maklumat. Dalam peperiksaan dengan jangka masa yang terhad tetapi memerlukan banyak isi jawapan yang boleh ditulis. Kebolehan menulis cepat juga dapat menjimatkan masa.

Syarat pra-menulis cepat bagi ia akan dapat membantu untuk menyampaikan banyak maklumat atau fakta dalam ingatan semasa menjawab soalan peperiksaan. Murid juga boleh mengingat kembali fakta atau maklumat dengan cepat. Penyediaan alat tulis yang baik juga penting dalam penulisan cepat seperti pensel yang tajam atau pen yang sempurna.

e. Kemahiran Mengingat

Mengingat ialah proses pembelajaran yang berkaitan dengan kefahaman dan penggunaan deria dengar dan deria lihat yang baik. Mengingat juga ialah satu kemahiran untuk mengingat kembali dengan menyebut atau menulis fakta dan kejadian yang telah berlaku selepas beberapa lama.

Jenis ingatan adalah ingatan jangka pendek dimana maklumat yang diterima akan hanya diingat dan tersimpan dalam jangka masa yang singkat sahaja manakala ingatan jangka panjang adalah maklumat yang disimpan dan kekal dalam ingatan.

Proses ingatan dapat dibahagikan kepada tiga langkah iaitu:

  • Mendaftar maklumat hingga boleh dikekalkan dalam ingatan.
  • Menyimpan maklumat.
  • Mengingat kembali maklumat.

KEMAHIRAN MAKLUMAT

Keupayaan mengumpul maklumat secara berkesan ialah satu aspek kemahiran belajar cara belajar yang pentinh. Mengenal pasti sumber pembelajaran , cara mendapatkan maklumat dari temu ramah, membuat rujukan , mengenal maklumat dalam buku, dan cara merujuk kamus, direktori dan ensiklopedia ialah sebahagian daripada kemahiran maklumat yang perlu dikuasi oleh murid.

Maklumat ialah pengetahuan, data, butiran, fakta, keterangan, maklumat atau cerita tentang sesuatu perkara atau seseorang. Manakala kemahiran maklumat ialah keupayaan seseorang mengenalpasti keperluan maklumat mencari dan mengumpulkan, mengurus dan mengolah maklumat dan membekalkan maklumat bagi memenuhi keperluan tertentu.

STRATEGI METAKOGNISISI

Metakognitif ialah kesedaran tentang apa yang diketahui dan apa yang tidak diketahui. Strategi Metakognitif merujuk kepada cara untuk meningkatkan kesedaran mengenai proses berfikir dan pembelajaran yang berlaku. Apabila kesedaran ini wujud, seseorang dapat mengawal fikirannya dengan merancang, memantau dan menilai apa yang dipelajari.

Murid boleh menggunakan strategi metakognitif dan mengawal pembelajarannya melalui proses seperti berikut:

  • Merancang apa yang dipelajari.
  • Memantau kemajuan pembelajaran diri.
  • Menilai apa yang dipelajari.

Proses Metakognitif

a. Proses Merancang

Proses ini memerlukan murid meramalkan apakah yang akan dipelajari, bagaimana perkara itu dikuasai dan kesan daripada perkara yang dipelajari. Murid perlu menyediakan diri secara fizikal, mental dan psikologi. Murid juga perlu membuat perancangan dari semasa ke semasa cara terbaik untuk mendapatkan sesuatu perkara.

b. Proses Memantauan

Dalam proses pembelajaran murid perlu bertanya kepada diri sendiri dari semasa ke semasa perkara perkara seperti:
- Apakah soalan yang perlu saya kemukakan?
- Adakah ini membawa makna kepada saya?
- Bagaimanakah perkara ini boleh dijelaskan?
- Mengapakah saya tidak memahami cerita ini?

c. Proses Menilai

Melalui proses ini, murid membuat refleksi untuk mengetahui:
- Bagaimana sesuatu kemahiran, nilai dan pengetahuan dikuasai oleh saya?
- Mengapakah saya mudah / sukar menguasainya?
- Apakah tindakan / pengubahsuaian yang harus saya ambil?

Dengan pengetahuan seperti ini, murid dapat memeikirkan strategi yang lebih sesuai untuk menguasai pelajaran baru.

RUMUSAN

Belajar cara belajar yang telah diperkenalkan ini adalah kerana disebabkan oleh keadaan yang memaksa .Sepertimana yang diketahui umum masa dalam bilik darjah adalah amat terhad bagi setiap murid untuk mendapatkan pengetahuan. Maklumat yang diterima dalam masa yang terhad juga adalah sangat kurang.

Belajar cara belajar juga mendidik murid untuk merasa lebih bertanggungjawab dalam pelajaran mereka. Mereka akan belajar untuk mendapatkan maklumat di luar waktu persekolahan. Selain daripada itu, belajar cara belajar juga dapat menggalakkan murid supaya meningkatkan keupayaan mereka dalam mempelajari sesuatu. Kemahiran belajar cara belajar sejajr dengan matlamat pendidikan untuk menyemai kemahiran belajar seumur hidup di kalangan murid.

Belajar cara belajar telah mengariskan tiga komponen utama dalam perlaksanaan kemahiran belajar iaitu:

  • Kemahiran belajar
  • Kemahiran maklumat
  • Strategi metakognitif

Ia merangkumi dari segi cara belajar murid, mencatat maklumat dan strategi metakognitif yang mana murid dapat meningkatkan kesedaran mengenai proses berfikir dan pembelajaran yang berlaku.

21 Ogos 2009

11 Teknik Memperbaiki Displin Bilik Darjah

1. Berfokus
Pastikan anda memiliki perhatian semua pelajar sebelum memulakan pengajaran.
Jangan cuba mengajar apabila masih ada pelajar yang berbual-bual. Biasanya, guru pelatih berharap bilik darjah akan menjadi tenteram apabila pangajaran bermula. Sebaliknya, pelajar-pelajar berkemungkinan berpendapat bahawa guru sanggup bersaing dengannya; mereka boleh bercakap walaupun guru bercakap dan guru akan bercakap dengan suara yang lebih kuat lagi. Selain itu, mereka membentuk idea bahawa guru tidak hiraukan ketidakperhatian pelajar ketika guru mengajar
Teknik berfokus bererti guru meminta perhatian pelajar sebelum memulakan pengajaran - guru akan tunggu dan tidak memulakan pengajaran sehingga semua pelajar bersedia. Teknik senyap sangat berkesan. Guru boleh berhenti selama 5 - 10 saat selepas semua pelajar telah senyap. Selepas itu, gunakan suara yang lebih lembut daripada biasa.
Guru yang menggunakan suara yang lembut biasanya mewujudkan bilik darjah yang lebih senyap berbanding dengan guru yang menggunakan suara yang kuat. Pelajar-pelajar terpaksa duduk dengan tertib untuk mendengar pengajaran guru.
2. Instruksi Secara Langsung
Ketidakpastian meningkatkan aras kegelabahan, kegalakan dan kegegaran dalam bilik darjah. Teknik instruksi secara langsung ialah untuk memulakan setiap pengajaran dengan memaklumkan pelajar sejelas-jelasnya apa yang akan berlaku dalam kelas itu. Guru menyatakan apa yang ia dan murid akan buat serta had-had masa untuk tugasan-tugasan.
Guru boleh memperuntukkan masa pada akhir kelas agar pelajar boleh melakukan aktiviti pilihan. Contohnya, guru memberi masa 15 minit untuk pelajar berbual-bual, pergi ke perpustakaan, atau menyiapkan kerja kelas lain. Guru akan lebih rela menunggu untuk mendapatkan perhatian pelajar kerana ia tahu terdapat masa lebihan pada akhir pengajaran manakala pelajar juga menyedari bahawa semakin lama guru menunggu bererti semakin kurang masa bebas untuk pelajar.
3. Pemantauan
Kunci kepada prinsip ini adalah supaya guru beredar dalam bilik darjah. Semasa murid bekerja, berjalan di antara mereka dan memeriksa kemajuannya.
Guru yang berkesan akan berjalan melintasi seluruh bilik darjah selepas 3 minit pelajar diberi tugasan bertulis. Ia akan menyemak sama ada pelajar telah bermula tugasan, memeriksa kerja-kerja yang telah diselesaikan oleh pelajar, dan memberi pengajaran bersifat individu.
Guru tidak akan menggangu kelas atau membuat pengumuman kecuali ia dapati beberapa orang pelajar menghadapi masalah yang sama.
4. Teladan
"Values are caught, not taught." - ini bererti nilai-nilai diamalkan dan dicontohi oleh pelajar dan bukan diajar secara langsung. Guru yang bersopan, tekun, bersemangat, bersabar dan dapat mengawal diri, menjadi contoh yang baik untuk pelajar.
Sekiranya guru mahu pelajar menggunakan suara yang lembut semasa menyiapkan kerja, guru sendiri mesti menggunakan suara yang lembut apabila ia menolong pelajar secara individu.
5. Isyarat Bukan Lisan
Untuk mendapatkan perhatian pelajar dengan segera, guru boleh menggunakan isyarat bukan lisan seperti liceng atas meja, suis lampu, atau 'clickers'.
Isyarat bukan lisan juga boleh berbentuk ungkapan muka, postur badan, dan isyarat tangan. Contohnya 'isyarat senyap' yang dicadangkan oleh Kagan - apabila guru angkat tangannya, semua pelajar mesti berhenti bercakap dan turut angkat tangan.
Guru perlu memilih isyarat yang sesuai dengan pelajar dan menjelaskan kehendak guru yang sepadan dengan isyarat yang dipilih.
6. Kawalan Persekitaran
Sebuah bilik darjah sebaik-baiknya tempat yang mesra dan riang. Pelajar rasa seronok jika persekitarannya bertukar wajah dari semasa ke semasa. Sudut pembelajaran yang mempunyai gambar dan warna menimbulkan minat akan sesuatu mata pelajaran.
Pelajar muda berminat mengetahui guru dan kegemarannya. Masukkan item-item peribadi dalam bilik darjah. Contohnya gambar keluarga atau bahan-bahan mengenai hobi guru dapat memikat minat murid dan memudahkan perbualan antara guru dan murid. Semakin banyak guru mengenali murid, semakin kurangnya masalah disiplin.
Walaupun bilik darjah boleh dihiaskan dengan pelbagai bahan, sediakan juga sudut yang agak "senyap" dan kurang bahan yang menggangu. Ini penting untuk mengelakkan pelajar yang senang pindah perhatian menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Pelajar demikian harus diberi tempat yang kurang hiasan untuk menjalankan kerja-kerja sendiri.
7. Intervensi Berprofail Rendah
Kebanyakan pelajar dihantar ke pejabat guru besar akibat konfrontasi yang melampau. Biasanya guru menegur pelajar berkenaan atas kesalahan yang ringan akan tetapi dalam saat-saat genting, guru dan murid mencetusakn perbalahan verbal yang tidak dapat dikawal. Kebanyakan kes demikian boleh dielakkan jika guru melakukan interversi yang tenang dan senyap.
Guru yang berkesan akan memastikan pelajar yang melakukan salah laku tidak dijadikan fokus perhatian. Ia akan memantau bilik darjahnya dengan sentiasa rondaan yang kerap, menyeluruh dan senyap. Justeru itu, ia cuba menjangkakan salah laku yang mungkin berlaku. Pendekatannya terhadap pelajar yang menggangu kelas adalah dalam bentuk yang tidak mudah dilihat atau tidak menarik perhatian orang lain. Pelajar lain tidak rasa terganggu.
Semasa memberi penerangan, guru boleh teknik "name-dropping". Sekiranya ia dapati seseorang pelajar bercakap atau tidak membuat kerja yang disuruh, ia akan menggunakan nama pelajar berkenaan dalam dialognya dalam cara yang natural: "Sekiranya Abo mempunyai 5 biji rambutan dan Ado mempunyai 6 biji rambutan, berapakah jumlah rambutan yang dipunyai oleh Abo dan Ado?" Apabila Abo mendengar namanya disebut, ia akan berhenti bercakap atau menumpukan perhatian yang dikehendaki oleh gurunya. Pelajar-pelajar lain tidak rasa pun bahawa guru telah menegur Abo.
8. Displin Asertif
Ini merupakan autoriti yang menetapkan had-had tingkah laku yang dibenarkan. Guru adalah bos dalam bilik darjah dan tiada sesiapa dibenarkan menggangu pembelajaran orang lain. Peraturan dinyatakan dengan jelasnya dan dikuatkuasakan dengan konsistennya.
9. Mesej - Saya Yang Asertif
Salah satu komponen disiplin asertif ialah mesej-Saya yang merupakan pernyataan yang digunakan oleh guru ketika murid menimbulkan masalah disiplin.
Mesej-mesej ini berbentuk jangkaan yang jelas tentang apa yang harus dilakukan oleh murid. Fokus guru ialah memusatkan perhatian pelajar kepada tingkah laku yang dikehendaki, bukan 'misbehaviour' atau tingkah laku yang tidak baik.
Contohnya ialah: 'Saya inginkan anda ...'; 'Saya hendakkan anda ...'; 'Saya jangkakan anda akan ...'.
Guru yang kurang berpengalaman akan menggunakan arahan seperti: 'Saya mahukan anda berhenti ...'. Ini akan menimbulkan rasa konfrontasi dan penafian. Fokus di sini ialah kepada 'misbehaviour' dan pelajar akan menjawab dengan mengatakan bahawa 'Saya tidak buat apa-apa'; 'Bukan salah saya...'; 'Sejak bila wujudnya peraturan yang melarang ...'. Keadaan ini akan memburukkan keadaan dan hubungan guru-murid.
10. Mesej - Saya Yang Humanistik
Mesej ini merupakan ekspresi perasaan. Mengikut Thomas Gordon, mesej ini terdiri daripada 3 bahagian. Pertamanya, suatu deskripsi tentang tingkah laku pelajar: 'Semasa anda bercakap ketika saya memberi penerangan...'. Keduanya, kesan tingkah laku pelajar ke atas guru: '... saya terpaksa berhenti pengajaran saya ...'. Dan ketiganya, perasaan yang dialami oleh guru akibatnya: '...ini menghampakan saya.'
Contohnya seorang guru yang diganggu oleh murid yang kerap bercakap apabila ia sedang mengajar pernah menyatakan ekspresi perasaannya seperti berikut: 'I can not imagine what I have done to you that I do not deserve the respect from you that I get from the others in this class. If I have been rude to you or inconsiderate in any way, please let me know. I feel as though I have somehow offended you and now you are unwilling to show me respect.' Murid itu tidak lagi bercakap ketika guru menyampaikan pengajarannya buat beberapa minggu selepas itu!
11. Displin Positif
Gunakan peraturuan bilik darjah yang menghuraikan tingkah laku yang dikehendaki dan bukan perlakuan yang dilarang. Contohnya, elakkan daripada 'dilarang berlari dalam bilik' tetapi gunakan 'bergerak dalam bilik dalam cara yang teratur'. 'Selesaikan konflik dengan cara yang sesuai' bukan 'Dilarang bergaduh'.
Selalu nyatakan jangkaan anda tentang peraturan yang telah ditetapkan.
Gunakan pujian setiap kali sesuatu tingkah laku yang baik ditunjukkan oleh pelajar. Pujian tidak semestinya berbentuk verbal, ada kalanya senyuman, anggukan, atau tanda bagus dengan ibu jari boleh memperkukuhkan tingkah laku yang baik.